Wednesday, December 23, 2009

Berita KPM

Kadar Bayaran Tambahan Sesi Persekolahan 2010 Diseragam


KUALA LUMPUR: Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).



Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).

“Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa.

“Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

“Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).

Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.

1 comment:

  1. Assalam mu alaikum wr wbt.
    Takkanlah, kiriman setakat tahun 2009 aje. Kini sudah Jun 2010.
    Blog dah ada, cantik pula... takkanlah tak ada kiriman baru.. tentang mesyuarat.. tentang prestasi murid, prestasi guru, prestasi Guru Besar, prestasi PPD.
    Orang berblog, awak nak berblog.... tapi tak ada berita, artikel atau entri baru....
    Buatlah up date yee...

    ReplyDelete